Memberi arahan kepada kanak-kanak juga merupakan satu bentuk komunikasi atau percakapan yang sangat perlu diberi perhatian oleh ibu bapa malah juga guru di tadika. Selalu terdengar rungutan ibu bapa atau guru-guru bagi kes kanak-kanak tidak mengikut dan mendengar arahan.
Sebenarnya bercakap dengan kanak-kanak terutamanya memberi arahan juga memerlukan seni komunikasi yang tertentu. Terdapat beberapa peraturan mudah yang perlu diberi perhatian oleh orang dewasa apabila bercakap dengan kanak-kanak supaya boleh mengikut arahan yang diberikan.
1.Dapatkan perhatian
Sebelum memberi arahan, dapatkan perhatian kanak-kanak tersebut sepenuhnya terlebih dahulu. Semasa bercakap cuba minimakan gangguan daripada persekitaran. Jika sedang bermain, minta berhenti bermain beberapa minit atau seketika. Elakkan memberi arahan di depan televisyen dan duduklah secara berhadapan dengannya. Lihat matanya dan sentuh atau pegang bahunya dan lihat terus ke dalam matanya semasa memberi arahan. Sebut namamya seperti “ Maryam, ibu nak maryam susun kasut apabila masuk dalam rumah ya!”
2.Berterus terang dalam setiap arahan
Jangan berkias dengan kanak-kanak. Buat ayat pernyataan dan bukannya ayat pertanyaan. Misalnya “tolong duduk” dan bukannya “Kenapa tak duduk” atau “kenapa tak simpan mainan tu” tapi berilah arahan “tolong simpan mainan tu”.Pastikan kita lebih banyak menggunakan ayat “Do’s Than Don’ts”. Sentiasa bercakap dalam bentuk memberitahu kanak-kanak apa yang patut dibuat dan bukannya apa yang tidak patut dibuat.
3.Berada dekat apabila memberi arahan
Bila memberi arahan pastikan kita berada hampir atau berdekatan dengan anak. Elakkan memberi arahan dari jauh. Juga jangan memberi arahan dengan cara menjerit atau meninggikan suara dari jauh. Kebiasaan memberikan arahan dengan suara yang tinggi atau kuat atau secara menjerit ini lama kelamaan menyebabkan anak menggagap menjerit atau bercakap dengan nada yang adalah dibolehkan dan akan membentuk satu tingkah laku pada kanak–kanak tersebut.
4.Berilah arahan yang jelas dan khusus
Jangan sekadar berkata “pergi duduk sana” tapi bercakaplah dengan lebih jelas seperti” pergi duduk di meja tersebut dan siapkan kerja sekolah”. Berilah arahan mengikut tahap umur kanak-kanak tersebut. Bagi anak yang masih kecil misanya bawah tiga tahun, berilah arahan dengan menggunakan perkataan yang kita tahu dia faham perkataan tersebut seperti “Adik, tangkap bola ni”. Bagi kanak-kanak yang lebih besar gunalah perkataan yang lebih tegas dan jelas.
5.Gaya Bahasa
Gaya bahasa untuk anak tiga tahun ke bawah adalah berbeza daripada gaya bahawa untuk anak yang berusia enam tahun. Ini adalah kerana tahap pemikiran dan kefahaman mereka adalah lebih berbeza. Bagi anak yang berusia 3 tahun ke bawah, elok memberi arahan dengan nada suara yang pelbagai, tidak bercakap dengan cepat dan dibuat pengulangan terhadap arahan tersebut. Sebenarnya pengulangan dalam arahan sangat perlu bila arahan tersebut ditujukan kepada anak. Penggunaan laras bahasa yang mudah, ringkas serta penuh dengan perasaan kasih sayang menyebabkan kanak-kanak tersebut merasa dirinya berharga dan memudahkan mereka mendengar dan mengikut arahan.
6.Satu arahan pada satu satu masa
Anak-anak memerlukan masa untuk memproses maklumat yang masuk ke dalam mindanya. Maklumatnya yang mudah akan membantu anak cepat memproses dan memahaminya. Misal jika arahan tersebut meminta anak makan dan kemudian meletakkan pinggan dalam sink, berilah arahan seperti berikut “ Adik, makan nasi tu” Biar dia selesaikan dulu tugasan yang pertama sebelum memberi arahan yang kedua seperti “Adik letak pinggan dalam sink ya”. Bukannya “adik, makan nasi tu kemudian angkat pinggan dan letak dalam sink dan kemudian bersih meja tempat makan tu”. Kemampuan minda kanak-kanak memproses pelbagai maklumat secara serentak sangat terhad.
7.Beri masa untuk memproses arahan
Setelah memberi arahan, berilah masa pada anak untuk memproses arahan yang diberikan. Tunggu dulu beberapa saat tanpa mengulang semula arahan tersebut. Dengan cara ini anak belajar bahawa mereka perlu mendengar arahan yang diberikan pada kali pertama dan tidak menganggap bahawa arahan akan diulang sekali lagi. Ibu bapa atau guru digalakkan meminta anak mengulang semula arahan yang telah diberikan bagi memastikan mereka mendengar dan faham arahan. Selain dari itu ia memberi peluang kepada ibu bapa atau guru-guru membetulkan salah faham terhadap arahan sekiranya ada.
8.Jangan menidakkan perasaan kanak-kanak
Bila bercakap dengan anak, sebagai orang dewasa, jangan menidakkan perasaan mereka. Dalami perasaan mereka. Bila mereka bersedih, kita juga turut bersedih dan bercakap dengan mereka dalam nada sedih bagi memberitahu mereka bahawa kita faham perasaan mereka. Sebaliknya kalau anak berada dalam situasi marah, cuba fahami dan cari punca kenapa dia marah. Elakkan dari mendesaknya untuk mengubah emosinya dengan serta merta misalnya dari emosi sedih kepada emosi gembira.
9.Berikan pujian
Jangan lupa memberi ganjaran dalam bentuk pujian kepada tingkah laku positif yang telah ditunjukkan daripada arahan yang diterima. Pastikan kita menyebut tingkah laku positif yang telah di tunjukkan seperti “Pandainya adik susun buku tu, terima kasih”.
10.Beri pilihan
Sekali sekala berilah pilihan dan bukan sekadar arahan pada anak nakal kecil. Beri pilihan kepada anak “bagaimana” atau “bila” mereka akan mengikut arahan yang diberikan. Dengan anak lima tahun misalnya kita boleh memberi arahan seperti berikut “Adik, tolong simpan semua mainan tersebut. Adik nak simpan sekarang atau lagi 10 minit?” Bagaimana pun berhati-hati dengan ayat yang kita gunakan supaya tidak menampakkan pada anak bahawa tidak mengikut arahan juga satu pilihan!
sumber asli artikal di sini --> Majalah PaMa
Ulasan