S : Saya menyusukan anak secara eksklusif. Saya mempunyai rangka dan saiz badan besar. Untuk kembali anggun, saya bercadang menguruskan badan. Adakah dengan mengurangkan kuantiti makanan akan mengurangkan amaun susu badan?
Nor Shaiza, Pulau Pinang
J : Ibu yang sedang menyusukan anak menghasilkan sebanyak 23 – 27 oz susu setiap hari yang mengandungi 330mg kalsium per quart. Ini bererti anda memerlukan tambahan tenaga sebanyak 500 kalori setiap hari. Oleh itu, kualiti dan makanan yang diambil sangat penting bagi anda dan bayi.
Kualiti susu badan yang dihasilkan akan terjejas akibat pengurangan pengambilan makanan yang ekstrem atau pengambilan makanan tertentu secara berlebihan. Namun, kuantiti atau jumlah susu yang dihasilkan sangat bergantung kepada jumlah makanan yang diambil. Seperti mana yang diketahui, mengamalkan pemakanan yang seimbang dan mencukupi adalah sangat penting kepada anda dan bayi.
Zat makanan yang diserap daripada makanan bukan sahaja digunakan oleh anda malah sebahagian besarnya digunakan untuk menghasilkan susu ibu. Oleh itu, jika anda tidak mengambil makanan yang seimbang dan mencukupi, mungkin masih mampu mempunyai bayi yang sihat tetapi kekurangan zat makanan tersebut boleh memudaratkan diri sendiri.
Secara umumnya anda boleh mencapai penurunan berat badan dengan mengubah tabiat pemakanan dan jenis makanan. Sebagai contoh, anda boleh mengurangkan makanan berlemak dan berkarbohidrat tinggi seperti gula. Pengambilan makanan dalam jumlah yang kecil tapi kerap juga dapat membantu meningkatkan serapan zat makanan dan mengurangkan pembentukan lemak.
Sumber : majalah pa&ma
Ulasan