Sesungguhnya anak-anak merupakan anugerah dari Allah  S.W.T yang  cukup berharga kepada Ibu bapa. Mereka juga merupakan amanah daripada  Allah untuk dijaga dan dipelihara dengan  sempurna dan memastikan  keselamatan di dunia dan akhirat. Amanah ini akan ditanya oleh Allah di  akhirat nanti, apakah kita telah menunaikannya dengan sebaik-baiknya  ataupun kita mengkhianatinya.
Kita semua sebagai ibu bapa atau yang  bakal menjadi bapa sudah pasti berharap supaya dikurniakan anak-anak  yang baik dan soleh yang bakal menjadi penyejuk mata dan penawar hati.  Anak-anak bukan sahaja dapat membantu kita sewaktu di dunia bahkan  diharap dapat membantu kita sampai ke alam akhirat.
Sabda Rasulullah s.a.w :
" اِذَا مَاتَ ابْنِ آدَمَ اِنْقَطَعَ عَمَلُهُ اِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ :  صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ  يَدْعُوْلَهُ ".
Maksudnya :  “  Apabila telah mati seorang anak Adam, maka  putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu : Sedekah jariah, Ilmu yang  bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya”.
Membaca ayat-ayat Al-Quran 
“Surah  Fatihah adalah ibu al-Quran, ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan  syaitan manakala surat al-Inshirah untuk melapangkan hati dan fikiran.  Apabila hati tenang dan lapang, anak mudah menerima pelajaran. Ibu juga  digalakkan membaca surah berkenaan ketika menyusukan anak dan  dihembuskan di kepala. Ia boleh diteruskan dan menjadi amalan seharian.
Oleh  itu, sekiranya kita berhasrat dan mengidamkan untuk mendapat zuriat  yang terbaik dan soleh, maka kita mestilah memberikan pendidikan yang  sempurna kepada mereka terutama fardhu ain dan fardhu kifayah.
Proses  mendidik anak supaya menjadi anak yang soleh merupakan suatu tugas dan  tanggungjawab yang besar serta mencabar kepada setiap  ibu bapa. Dunia  hari ini yang serba canggih sedikit sebanyak telah mempengaruhi corak  kehidupan masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak. Maka dalam  perkara ini, beberapa faktor penting perlu diberi perhatian oleh ibu  bapa bagi memastikan anak-anak menjadi insan yang soleh dan terbaik  serta mampu memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.
Amalan- amalan semasa mengandung dan setelah melahirkan:
 • Sewaktu mengandung, kedua-dua ibu bapa mestilah sentiasa mematuhi suruhan Allah dan menjauhi laranganNya. 
• Sewaktu  bayi masih dalam kandungan ibu bapa hendaklah meningkatkan amal ibadah  khususnya berpuasa sunat, membaca al-Quran terutama surah-surah Yusuf,  Maryam, Toha, Luqman dan surah-surah pilihan yang lain. 
• Sebaik  kandungan mencecah empat bulan, ibu digalakkan baca surah al-Fatihah,  ayat Kursi dan surah al-Inshirah. Surah al-Fatihah adalah ibu al-Quran,  ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan syaitan manakala surat  al-Inshirah untuk melapangkan hati dan fikiran. 
• Selepas bersalin,  baca surah berkenaan ketika menyusukan anak dan dihembuskan di kepala.  Ia boleh diteruskan sehingga anak cukup umur. 
• Setelah anak  dilahirkan, bersegeralah diazankan serta iqamat tanpa bertangguh sebelum  bayi itu mendengar perkataan-perkataan lain. 
• Bukakanlah mulut bayi dengan air zam-zam yang sangat berkat itu. 
• Biarkan  anak itu dipangku oleh orang-orang soleh dan terus didoakan. Itulah  sebabnya ibu bapa mesti terlebih dahulu menjadi soleh sebelum mendapat  anak yang soleh. 
• Hendaklah diperdengarkan ayat-ayat suci al-Quran  sebanyak mungkin semasa bayi itu masih lagi baru dilahirkan. Cubalah  ajar bayi itu menyebut “Haq” (salah satu nama Allah ialah al-Haq). Ramai  yang mencuba, mendapati bayi yang tidak mengerti apa-apa itu dapat  menyebut kalimah “Haq”. Sungguh ajaib (hendaklah dilakukan oleh orang  yang soleh). 
• Ibu yang menyusu anak itu hendaklah mengelakkan makanan dari sumber yang haram dan syubahat. 
• Anak-anak  hendaklah membesar dalam suasana yang diwarnai Islam, serta jangan  membiarkan anak-anak berkawan dengan rakan-rakan yang tidak baik  akhlaknya
Rahsia pemakanan ilmuwan Islam
 1. Madu  - Madu adalah makanan yang sangat berkhasiat. Al-Quran mengiktiraf ia  ‘Shifa’ iaitu penyembuh penyakit. Madu didapati berkesan untuk merawati  penyakit dan boleh menghindarkan kepenatan bekerja  seperti berfikir,  membaca, merancang dan bermesyuarat. Ia perlu diambil dua sudu teh  (gunakan sudu plastik) pada waktu pagi dan malam. 
2. Kismis -  Mengandungi zat besi yang amat diperlukan untuk membina darah bagi  memastikan bekalan oksigen yang mencukupi untuk disalurkan ke otak. Adab  memakannya ialah dengan mengadap Kiblat, membaca Bismillah dan selawat  tiga kali diikuti doa penerang hati. Ia perlu dimakan seperti memakan  gula-gula kerana dikatakan tidak berkesan jika dikunyah dan diambil satu  persatu sebanyak 21 biji setiap hari. 
3. Susu segar - Susu berguna  untuk kesihatan otak, mempertajamkan ingatan, membekalkan tenaga mental  dan fizikal. Susu mengandungi tiga unsur semula jadi iaitu keju, lemak  dan air yang amat diperlukan untuk pertumbuhan badan dan otak. Susu yang  terbaik untuk ketajaman minda ialah susu kambing, biri – biri dan lembu  yang segar. Ia diminum segelas pada sebelah pagi dan malam. 
4. Telur  - Bermanfaat untuk menambah kekuatan otak, badan dan menjaga kesihatan  keseluruhannya kerana ia berkhasiat. Telur yang terbaik ialah telur ayam  kampung dan yang masih baru. 
5. Halia - Ia sangat mujarab untuk  menghindar masalah lupa. Ia boleh dimakan mentah atau dibuat halwa  dimakan sedikit saja pada waktu pagi. 
6. Buah Delima – Mujarab untuk  penerang hati seperti sabda Nabi Muhammad SAW: “Sesiapa yang memakan  buah delima keseluruhannya, sesungguhnya Allah menerangkan hatinya  selama 40 hari.”
Kesimpulan :
Anak yang  pintar dan yang soleh mudah dibentuk dengan sering mengamalkan membaca  ayat-ayat al-Quran bermula sejak dari dalam kandungan ibu. Pemakanan  yang berkhasiat juga dapat mencerna dan membentuk kesihatan yang baik  untuk bayi dalam kandungan. Maka akan lahirlah bayi yang cerdas  mindanya, baik tingkah lakunya dan dapat membentuk anak yang soleh dan  tinggi nilai akhlaknya.
Suntingan dari sumber :  Jabatan Agama Islam Selangor
                                      Buku Anak Kita Memang Pintar dan Cerdas
                                      ( Hassan Mohd Alias)   
sumber : http://pmr.penerangan.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=7605:membentuk-anak-pintar-dan-tinggi-akhlaknya&catid=248:rencana-agama

Ulasan