Susu ibu adalah manisan syurga kurniaan Allah SWT pada ibu-ibu untuk diberikan kepada anak mereka...
“TAK cukup masa dan melecehkan,” itu antara alasan yang selalu  diberikan oleh ibu- ibu bekerja ketika ditanya mengapa tidak memberi  penyusuan badan kepada bayi mereka. 
Bukan tidak cukup pengetahuan, siapa jua tidak menafikan kebaikan  susu ibu yang tidak ternilai ini. Namun begitu, tuntutan kerja  membuatkan kebanyakan ibu mengambil keputusan bertukar kepada susu  formula.
“Bekerja bukan masalah untuk meneruskan penyusuan badan. Berapa ramai  ibu yang bekerja telah berjaya menyusukan anak mereka, malah ada  antaranya bekerja dalam sektor yang lasak namun tidak mempunyai masalah  untuk terus memberi penyusuan secara eksklusif,” kata Ketua Jururawat  dan Kaunselor Penyusuan, Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Jalan Tun Abdul  Razak, Kuala Lumpur, Marjinah Badli.
Menurutnya, tuntutan kerja bukanlah penghalang untuk ibu-ibu  meneruskan penyusuan selepas habis berpantang asalkan mereka mempunyai  niat dan keinginan yang tinggi.
Kemudahan yang ada ketika ini katanya, amat berkesan untuk membantu  ibu-ibu meneruskan penyusuan biar pun mereka terpaksa berjauhan dengan  bayi untuk beberapa ketika.
Katanya, masalah seperti susu tidak mencukupi, sukar melakukan  penyimpanan dan pelbagai lagi boleh diatasi sekiranya ibu memperoleh  pengetahuan yang sewajarnya.
“Perlu diingat, pengeluaran susu ibu adalah mengikut permintaan. Apabila tinggi permintaan, maka pengeluaran juga akan banyak. 
“Sekiranya dari awal lagi kita memilih untuk memberi susu formula  kepada bayi, maka badan telah memberi isyarat bahawa permintaan susu  rendah lalu pengeluarannya pun menjadi berkurangan,” kata Marjinah yang  telah terlibat dengan aktiviti penyusuan melebihi 20 tahun.
Bagi ibu-ibu yang bekerja, beliau menasihatkan mula melakukan  penyimpanan stok susu dalam masa dua atau tiga minggu sebelum kembali  bertugas. Ketika ini juga katanya, ibu perlu melatih bayi mereka  menerima penyusuan bukan daripada payudara untuk membiasakan keadaan  apabila ibu mula bekerja kelak.
Namun, penyusuan ini harus diberi oleh orang lain (bukan ibu) kerana  ingatan dan sensitiviti bayi sangat tinggi terhadap ibu mereka.
“Kalau ibu yang berikan, memanglah bayi tak akan minum,” jelas beliau.
Proses mengepam susu harus dilakukan oleh ibu bagi menyediakan stok  sepanjang ketiadaan mereka kelak. Untuk permulaan kata Marjinah, jika  ibu berjaya mengumpul tiga botol kecil susu sudah mencukupi.
Aktiviti mengepam perlu diteruskan oleh ibu sepanjang waktu bekerja  bagi menghalang proses pengurangan susu. Ketika ini, pengetahuan dan  kelengkapan yang mencukupi mampu menjayakan hasrat ibu untuk terus  memberi penyusuan secara eksklusif.
“Sediakan peralatan yang mencukupi seperti alat mengepam susu, botol  penyimpan, beg penyejuk (cooler) dan pek ais beku,” katanya.
Menurut Marjinah, Pusrawi sangat menggalakkan ibu-ibu yang melahirkan  bayi untuk memberi penyusuan anak secara eksklusif. Sekitar 60 peratus  ibu yang memilih untuk bersalin di pusat rawatan itu katanya, berjaya  melakukan penyusuan secara eksklusif selama enam bulan dan diteruskan  sehingga dua tahun. Malah kakitangan Pusrawi juga digalakkan memberi  penyusuan badan di mana bilik khas untuk mengepam susu turut disediakan.
Mengapa susu ibu?
“Susu ibu adalah manisan syurga kurniaan Allah SWT pada ibu-ibu untuk  diberikan kepada anak mereka. Ia mengandungi kolostrum bermanfaat yang  bertindak sebagai imunisasi bagi bayi dalam masa satu jam pertama  selepas dilahirkan,” kata Marjinah. 
Malah dalam surah al-Baqarah ayat 233, Allah SWT berfirman bahawa,  “Para ibu hendaklah menyusukan anak- anak mereka selama dua tahun penuh  iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan.”
Polisi Kebangsaan Penyusuan Susu Ibu turut menggalakkan semua ibu  menyusukan anak dengan susu ibu selama enam bulan dan meneruskannya  sehingga dua tahun. 
Menurut Marjinah, susu ibu adalah makanan istimewa yang menjadi  penyambung silaturahim antara bayi dan ibu, membuatkan bayi berasa  selamat dalam dakapan ibu dan mengesahkan bahawa itulah ibu yang  melahirkannya.
“Pertama kali menyentuh puting payudara, mulut bayi akan menolak ke  kanan ke kiri lalu meluahkan semula. Tapi ibu jangan berputus asa,  teruskan memberi penyusuan dan selepas itu bayi akan menerima, ketika  itulah kasih sayang antara ibu dan bayi terjalin,” katanya. 
Keistimewaan susu ibu, kata Marjinah memanglah tidak ternilai. Ia  jauh lebih baik dan selamat berbanding susu formula yang boleh  mengundang pelbagai masalah kepada bayi. Pelbagai khasiat yang  diperlukan oleh bayi sepanjang tumbesaran terdapat dalam susu ibu.  Menurut penyelidikan yang dijalankan, anak-anak yang diberi susu ibu  secara eksklusif dan meneruskannya sehingga dua tahun mempunyai tahap IQ  yang tinggi serta mempunyai antibodi melawan penyakit yang kuat.
Berbanding susu formula yang penyediaannya merumitkan, susu ibu sedia  diberi tidak kira masa memandangkan suhunya yang terkawal dan  kebersihannya yang terjamin.
Selain manfaat kesihatan untuk bayi, penyusuan badan juga berupaya  mengecutkan rahim ibu sekali gus membantu mereka menguruskan badan  dengan berkesan.
Dari segi ekonomi pula kata Marjinah, dalam keadaan semasa yang  memaksa kebanyakan keperluan harian meningkat, harga susu formula yang  terdapat di pasaran juga turut melambung.
“Bayangkan satu tin susu formula dengan berat satu kilogram berharga  sekitar RM50. Setiap bulan sekurang-kurangnya empat tin diperlukan, itu  sekiranya mempunyai seorang bayi, bagaimana jika lebih?” soal beliau.
Bagi ibu bekerja yang ingin menyusukan anak mereka, Marjinah  menasihatkan agar pertama sekali memasang niat yang betul dan perlu  yakin dengan kemampuan diri. 
“Dapatkan nasihat daripada mereka yang pakar dalam bidang ini dan  perlu jaga pemakanan. Sekarang ini bukan lagi zaman ibu berpantang makan  ikan masin salai dengan nasi bersama lada hitam. Ibu perlu pemakanan  seimbang untuk menyusukan bayi,” katanya.
sumber: Utusan Malaysia Online
sumber: Utusan Malaysia Online
Ulasan